Penuaian Jiwa Borneo 2017 (Part 1)
Shalom! Damai sejahtera buat saudara-saudari yang dikasihi dalam nama Yesus Kristus. Dalam blog ini saya akan menceritakan kesaksian saya sepanjang menghadiri ibadah Penuaian Jiwa Borneo di Penampang sejak 2 hari yang lalu. Saya tergerak hati untuk mengikut ibadah ini pada kali pertama ia diberitakan. Saya sudah pasang niat awal-awal dan bersiap untuk pergi. Sebenarnya saya teringin sekali pergi kerana pengkhotbahnya bukan calang-calang orang. Ps. Philip Mantofa, siapa yang tidak kenal? Beliau merupakan seorang hamba Tuhan yang benar-benar diurapi dan dipakai. Pada waktu itu, saya benar-benar mempunyai kehausan dan kerinduan. Saya teringin sekali mendapatkan ketenangan jiwa (saya akan ceritakan sebentar lagi nanti). Oleh itu, saya berfikir dan 'set' terus dalam hati saya bahawa saya tetap akan ke Penampang walau apapun yang akan terjadi.
Hari berganti hari, dan waktu semakin dekat. Bagi orang yang percaya, saya memang sudah agak bahawa memang akan ada yang menghalangi perjalanan saya. Saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan izin daripada ibu saya. Saya juga tidak mempunyai masalah kenderaan mahupun tempat tinggal sebab saya bergerak mengikuti rombongan gereja. Selang dua hari sebelum kami bertolak ke Penampang, saya menghadapi masalah kewangan secara tiba-tiba. Saya bergumul, saya berfikir bagaimana untuk mendapatkan duit. Tetap saya yakin dengan iman bahwa Tuhan pasti membuka jalan buat saya. Hari seterusnya, saya masih bergumul kerana esoknya kami akan bertolak. Tapi puji Tuhan, Tuhan itu sangat baik. Saya dikirimkan wang oleh bapa saya. Saya tidak lagi risau apa yang akan datang. Saya sepatutnya menghadiri kelas pada hari Jumaat pagi tetapi dibatalkan oleh pensyarah-pensyarah. Puji Tuhan!
Saya terus membawa hati yang tenang ke Penampang bersama rombongan gereja. Kami bertolak pada jam 1 petang dari Sandakan dan tiba di Tuaran pada jam 7 malam. Apa yang terjadi? Jalan 'jammed' yang sangat luar biasa. Kami tersangkut di jalan raya bahkan juga sesat (tersalah pilih jalan). Google map juga mengelirukan. Itu yang membuat kami menjadi lebih lambat. Ibadah mulai pada jam 7:30 malam dan kami masih menunggu di dalam kereta. Hati mulai gelisah kerana risau tidak sempat mendengar khotbah. Jam 8 lebih apabila kami masih tersangkut dalam kesesakan jalan raya, tiba-tiba ada bunyi yang pelik datang dari bahagian belakang kereta. Bila diperiksa, tayar kereta bocor habis. Memang macam-macam masalah yang datang. Iblis memang tidak suka bila kita mencari Yesus. Tetap kami bersabar dan menukar tayar kereta.
Dekat jam 9 kami tiba di Stadium Kompleks Sukan Penampang. Kami tidak sempat mendengar khotbah dari awal. Tapi saya bersyukur walaupun khotbah tinggal sedikit, saya rasa sangat diberkati. Sebelum kami masuk ke stadium, saya sudah dapat merasakan kuasa roh kudus dari luar. Urapan menjadi semakin kuat apabila kami sampai. Khotbah yang kami sempat dengar ialah kesaksian Ps. Philip Mantofa dibawa ke NERAKA. Beliau menceritakan pengalaman dimana dia melihat seorang wanita berada di gerbang pintu neraka. Ada beberapa setan-setan yang datang mengelilingi dia dan menyuruh supaya dia berdusta. Dia diseksa berhabisan. Dia juga melihat seorang lelaki yang dipenuhi dengan sesuatu seperti ulat tetapi bukan ulat yang tidak boleh mati. Setan-setan menyuruhnya untuk melakukan masturbasi. Ulat-ulat keluar dari seluruh lubang badan bahkan dari kemaluannya. Ada juga beliau melihat anak dan bapa memakan sesama sendiri kerana sewaktu mereka hidup, mereka sering bertengkar. Saya tidak mahu ceritakan kesaksiannya kerana anda boleh mendapatkan buku kesaksian yang dituliskan oleh beliau sendiri.
Setelah selesai khotbahnya yang bertemakan Neraka Itu Nyata, beliau mengambil rantai penggari sebagai satu kebiasaan dan simbolik pelepasan anak-anak Tuhan yang terikat dengan roh-roh jahat. Dia meminta agar semua yang ingin dilepaskan untuk bersiap sedia untuk maju ke hadapan. Ketika itu saya berada di bahagian paling belakang. Dia hanya memberi masa 5 minit dan setelah 5 minit,pagar akan ditutup. Dia teriak dengan kuat "Iblis, DALAM NAMA YESUS LEPASKAN!" Terus ramai yang berlari menuju ke hadapan dan tersungkur. Saya bersama-sama yang lain berlari tanpa memperdulikan orang lain. Satu hal yang saya sedar waktu itu ketika saya berlari dan menangis, saya benar-benar memerlukan Tuhan. Saya perlukan Tuhan untuk memulihkan saya. Dengan banyak perkara yang saya hadapi. Masalah-masalah rohani yang saya tidak pernah beritahu. Saya haus! Saya lapar! Saya rindukan kasih Tuhan. Ketika khotbah Ps. Philip Mantofa, dia menyatakan "Jika anda hadir ke KKR saya dan masih enggak bisa bertaubat, maaf! Di KKR yang lain anda juga enggak bisa. Saya mengatakan ini bukan kerana saya hebat. Tapi kerana saya rasul yang dipanggil pada akhir zaman ini. Rasul pada akhir zaman!" (something like that).
Beliau mengajarkan tentang bahasa roh dan ramai yang bertutur dengan rasa 'desperate' termasuk diri saya. Kami berteriakan dengan tangisan dan jeritan meminta tolong dengan Tuhan. Sungguh Tuhan itu baik. Saya merasakan bahawa seperti suatu beban yang sangat berat sudah terangkat dari bahu saya. Saya rasakan ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan. Saya berasa sangat bersyukur untuk semua kebaikan Tuhan didalam kehidupan saya. Saya orang yang berdosa dan tidak mungkin lari daripada dosa. Tapi Dia sangat baik, Dia tidak pernah meninggalkan saya. Saya berdoa agar saya dilepaskan daripada ikatan-ikatan roh jahat. Saya sudah membuat keputusan untuk bebas dan sepertinya Tuhan mulai membebaskan saya satu demi satu. Ianya tidak berlaku sekelip mata tetapi mengambil proses yang panjang. For years I have been waiting my prayer to be answered, baru saya rasakan bahawa saya mulai mengalami proses tersebut. Janji Tuhan takkan pernah terlambat. Oleh itu, saya rasa terdorong untuk menyampaikan kesaksian saya melalui blog ini. Part 2 akan di'post' tidak lama lagi. Stay tuned. God bless.
#15September2017
#PJB17
#PhilipMantofa
#NerakaItuNyata
Comments
Post a Comment